Sebagai langkah memperkukuh keupayaan warga sekolah dalam bidang teknologi maklumat, Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai telah menganjurkan Kursus Pengurusan dan Penggunaan Laman Web Sekolah: Inovasi Digital yang berlangsung pada 11 Oktober 2025 dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari.
Program ini diadakan di premis sekolah dan melibatkan penyertaan guru-guru, pelajar serta kakitangan sokongan sekolah. Tujuan utama kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam mengurus serta menyelenggara laman web sekolah menggunakan teknologi digital terkini.
Menariknya, kursus ini mendapat sentuhan pakar dari Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kehadiran Mohd Izwan Salim sebagai penceramah utama dan dibantu oleh Asraf Zamani selaku fasilitator. Kedua-dua mereka mempunyai kepakaran luas dalam pembangunan laman web, inovasi digital dan pengurusan kandungan maklumat – bidang yang semakin penting dalam ekosistem pendidikan hari ini.
Permohonan program ini dibuat atas dasar kerjasama erat yang telah lama terjalin antara UiTM dan SK Sungai Binjai, selain mengiktiraf kepakaran pustakawan UiTM dalam bidang berkaitan. Melalui penganjuran ini, pihak sekolah berharap agar warga sekolah mampu membangun dan menyelenggara laman web sekolah secara lebih efektif dan inovatif, selari dengan tuntutan era digital.
Kursus ini juga menjadi platform untuk memupuk budaya celik teknologi dalam kalangan pelajar dan guru, di samping menggalakkan penggunaan sumber digital secara optimum dalam penyampaian maklumat dan komunikasi sekolah kepada komuniti.
Program sehari ini turut disambut baik oleh warga sekolah dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif digital di peringkat sekolah rendah.